
GEORGETOWN: Cadangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi pembabitan peranan ibu bapa dalam usaha pencegahan dadah disokong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Dengan penggubalan undang-undang baru ini, pembabitan ibu bapa dalam usaha membanteras dadah dalam kalangan remaja dan pelajar dapat direalisasikan.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bagi tempoh Januari sehingga September tahun lalu,seramai 1,731 pelajar sekolah daripada 36,664 yang mengambil ujian air kencing didapati positif dadah.
“Kami percaya dengan cadangan yang dibuat AADK ini, ia antara lain dapat digunakan sebagai satu kaedah membanteras masalah dadah dalam kalangan pelajar.
“Tidak dinafikan, peranan keluarga, masyarakat dan sektor swasta amat penting dalam usaha kerajaan menangani gejala penagihan dadah,” katanya.
Menurutnya, masalah penyalahgunaan bahan larangan ini adalah isu besar yang sekiranya tidak dapat ditangani secara holistik oleh semua pihak, ia akan mengundang kemudaratan yang lebih besar di masa depan.
“MCPF juga akan memainkan peranan secara berterusan untuk mendedahkan isu berkenaan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perkara ini,” katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena Program Mengelak Penyalahgunaan Bahan Terlarang Untuk Pelajar Sekolah di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MCPF Pulau Pinang, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pulau Pinang Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.
Sehubungan itu, Lee berkata dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan AADK untuk menggubal undang-undang baru ini dengan membabitkan peranan ibu bapa, seperti pihak berkuasa boleh memanggil ibu bapa atau penjaga remaja bermasalah bagi mengikuti sesi kaunseling.
Media sebelum ini melaporkan cadangan Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah supaya kerajaan mewujudkan undang-undang baru dengan membabitkan peranan ibu bapa bagi membanteras gejala sosial terutama dadah dalam kalangan remaja.
“Ibu bapa atau keluarga perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka sekurang-kurangnya 15 sehingga 20 minit setiap hari walaupun sibuk mencari nafkah untuk keluarga.
“Ia penting kepada mereka kerana memberi kesan yang baik kepada remaja berkenaan. Kebanyakan golongan remaja yang terbabit dengan dadah adalah mereka yang tidak mendapat perhatian daripada keluarga,” katanya.
Menurutnya, masalah berkaitan penyalahgunaan dadah di negara masih berada pada tahap membimbangkan walaupun statistik berkaitan jumlah penagih yang dikenal pasti menunjukkan penurunan ketara sejak dua tahun lalu.
This article first appeared on Berita Harian as reported by Shamsul Munir Safini. Photo above is taken by Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Past Events
- MCPF SPS DLC welcomes new SPS OCPD Appointment
- MCPF Penang and PDRM Pulau Pinang successfully launches its Scam Awareness QR Code (Mini-App / Infographics) at Penang Golf Club Ballroom, Bukit Jambul, Penang
- MCPF SPT DLC and JPNPP PPD SPT holds an Anti-Bullying Talk at SMK Guar Perahu, Bukit Mertajam, SPT
- MCPF Penang and PDRM Pulau Pinang ensures smooth execution of Rehearsal for Scam Awareness QR Code Launching at PGC Ball Room
- MCPF Penang Chairman Dato’ Ong Poh Eng chairs the 3rd Focus SLC Penang Meeting in the final preparation for the Scam Awareness QR Code Launching at PGC Board Room