
PULAU PINANG 15 Ogos – Sekurang-kurangnya tiga kes jenayah siber dilaporkan berlaku di negeri setiap hari sepanjang tempoh antara Januari hingga Julai tahun ini.
Menyifatkan trend jenayah itu sebagai sangat membimbangkan, Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 731 kes jenayah siber dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM20.6 juta.
Menurut beliau, statistik itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding dua tahun sebelum ini iaitu sebanyak 965 kes pada 2017 dengan kerugian RM19.3 juta dan 1,031 kes tahun lalu (RM29.7 juta).
Tambah beliau, secara perbandingan antara 2017 dan 2018 juga, jumlah kerugian meningkat sebanyak 53.5 peratus iaitu RM10.3 juta manakala jumlah kes pula bertambah 66 kes atau 6.6 peratus.
Ujar Narenasagaran, jenayah siber itu pula mencakupi pelbagai modus operandi dengan yang terkini dan melibatkan ramai mangsa adalah Macau Scam; penipuan cinta siber (Love Scam); penipuan e-kewangan dan belian online.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mana 99.9 peratus mesej atau panggilan yang diterima yang meminta mereka memindahkan wang ke akaun lain adalah palsu sekali gus perlu lebih berhati-hati dan berwaspada dengan modus operandi jenayah siber tersebut.
“Kebiasaannya peminjam daripada mana-mana agensi kewangan hanya menerima mesej untuk mereka membayar balik pinjaman sahaja, bukannya diberi nombor akaun lain dan perlu membayarnya menerusi online.
“Begitu juga dengan panggilan kononnya mereka disiasat oleh pihak berkuasa atas kesalahan tertentu sehingga akaun bank akan dibekukan dan perlu memindahkan wang ke akaun lain.
“Ini kerana seseorang itu tidak akan mengetahui apatah lagi dihubungi melalui telefon untuk dimaklumkan sedang disiasat polis sehingga polis tiba di rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai kes jenayah siber dan pengumuman penganjuran Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima di ibu pejabat kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) negeri, Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali mempelawa pelbagai pihak menyertai seminar tersebut yang akan memfokuskan kepada cabaran dan kesan daripada jenayah siber.
Katanya, seminar itu membariskan sembilan ahli panel yang merupakan pakar khususnya dalam jenayah siber termasuk Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia (ACFE), Datuk Seri Akhbar Satar dan Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd (IFW), Ken Gamble.
“Seminar itu akan diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 September ini di The Wembley, St. Giles Hotel di sini dan pendaftaran serta maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan melayari laman web www.mcpfpg.org/” katanya.
This article first appeared on Utusan.
Past Events
- MCPF SPS DLC welcomes new SPS OCPD Appointment
- MCPF Penang and PDRM Pulau Pinang successfully launches its Scam Awareness QR Code (Mini-App / Infographics) at Penang Golf Club Ballroom, Bukit Jambul, Penang
- MCPF SPT DLC and JPNPP PPD SPT holds an Anti-Bullying Talk at SMK Guar Perahu, Bukit Mertajam, SPT
- MCPF Penang and PDRM Pulau Pinang ensures smooth execution of Rehearsal for Scam Awareness QR Code Launching at PGC Ball Room
- MCPF Penang Chairman Dato’ Ong Poh Eng chairs the 3rd Focus SLC Penang Meeting in the final preparation for the Scam Awareness QR Code Launching at PGC Board Room